KUALA LUMPUR, 12 Jun – "Mereka yang sepatutnya minta maaf kerana mereka kata mereka nak bagi pendidikan percuma tapi akhirnya mereka tak bagi… Dan apabila mereka tak bagi pendidikan percuma, patutnya merekalah yang bersalah dan patut minta maaf.
"Kita ni nak bagi peluang sekejap… Kita bekupun sekejap. Akhirnya kerajaan ambil keputusan cairkan kembali dan nampak jelas terbukti janji mereka adalah janji kosong dan mereka ini kita panggil sebagai 'populis semberono'. Buat pengumuman-pengumuman popular tapi semberono. Tak fikir dengan detail, akhirnya mereka sendiri yang terjerat dengan janji palsu yang mereka sendiri nyatakan," ujarnya Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan kepada UMNO-Online di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendesak Kerajaan Pusat memohon maaf kerana bersikap 'main-main' terhadap isu pembekuan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) .
Tegas Ahmad Maslan, yang sepatutnya memohon maaf adalah pakatan pembangkang sendiri kerana gagal mengotakan janji mereka sendiri.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkata pakatan pembangkang gagal memanfaatkan peluang yang diberi oleh Kerajaan Pusat agar dapat membuktikan bahawa mereka mampu memberikan pendidikan percuma.
"Disebabkan kegagalan mereka itulah, akhirnya pembekuan PTPTN dicairkan semula demi masa hadapan para pelajar.
"Mereka gagal. Akhirnya kita isi kembali peluang yang diberi itu. Bukan nak aniaya pelajar yang miskin dan sebagainya. Itu perlu dijelaskan dan diberi pemahaman. Oleh sebab itu, tidak ada sebab mengapa kerajaan Pusat perlu minta maaf. Yang patut minta maaf adalah mereka sendiri," tambahnya lagi.
Sedar atau tidak, tegas beliau lagi penarikan pembekuan PTPTN adalah berdasarkan rasa tanggungjawab Kerajaan Pusat yang mengambil kira rayuan ibubapa pelajar yang mahu ianya ditarik balik.
Jelasnya jika sekatan ini diteruskan, maka akan ramai pelajar dari Unisel dan KUIS terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu untuk menanggung kos pembelajaran di situ.
"Ini jelas menggambarkan bahawa Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap masalah rakyat sekaligus membuktikan bahawa PTPTN yang didesak pembangkang untuk dimansuhkan amat diperlukan oleh para pelajar.
"Jelas dan terbukti pakatan pembangkang tidak mampu untuk mengotakan janji memberikan pendidikan percuma dan laungan mereka selama ini hanyalah retorik menjelang pilihan raya untuk meraih undi semata-mata. Tindakan Khalid Ibrahim yang mahu mencairkan asset Unisel bagi menampung kos pembelajaran pula dilihat sebagai 'jalan singkat' menutup kelemahan mereka", ujarnya.
Tambah beliau lagi sekiranya perkara ini terjadi, maka asset dan harta kerajaan negeri Selangor akan terus hilang sebagaimana Selangor kehilangan Yayasan Selangor, Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Asrama Yayasan Selangor.-
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment