KUALA LUMPUR, 25 Jun – '1Malaysia Janji Ditepati' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.
Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.
Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.
"Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 Sept kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini Isnin, Rais berkata terdapat cadangan agar Bintulu dijadikan lokasi sambutan Hari Malaysia, namun ia masih belum diputuskan.
Beliau berkata sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod Malaysia.
Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.
Pada 17 Julai, perdana menteri akan merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling secara serentak, kata Rais.
Pada bulan Ramadan, program berkaitan tetapi berunsur keagamaan akan diadakan untuk masyarakat Islam dan beberapa acara untuk kaum lain turut disusun.
Rais dalam pada itu meminta semua pihak agar mengenepikan perbezaan fahaman politik bagi menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 itu.
"Para pemimpin masing-masing perlu memainkan peranan dengan sokongan rakyat supaya Jalur Gemilang dikibarkan di setiap rumah, setiap kedai, setiap gedung dan pejabat dan ini tidak mengira latar belakang politik dan pentadbiran masing-masing," katanya.
"Kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di kawasann dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di jendela atau pintu," katanya
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment