Jika sebelum ini dia bersifat terbuka dalam perhubungannya bersama Adira, berbeza kali ini apabila pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, Hafiz, memilih untuk tidak berkongsi mengenai teman wanitanya.
Bukannya mahu menyorok gerangan teman wanitanya, tetapi Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 23, tidak mahu mendatangkan malu kepada dirinya kelak seandainya hubungan berkenaan terputus di tengah jalan.
Bukannya mahu menyorok gerangan teman wanitanya, tetapi Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 23, tidak mahu mendatangkan malu kepada dirinya kelak seandainya hubungan berkenaan terputus di tengah jalan.
"Jika apa-apa terjadi pada hubungan saya, saya sendiri yang akan malu. Jadi, lebih baik saya merahsiakan daripada menjadikannya sebagai bahan bualan orang ramai. Saya tidak mahu kisah hubungan saya ini menjadi isu, sebaliknya biarlah fokus lebih diberikan pada kerjaya seni. Saya tidak mahu malu pada kemudian hari.
"Ada sesetengah cerita kita boleh kongsi bersama orang ramai dan sebahagiannya tidak boleh diceritakan. Jadi, saya pilih untuk merahsiakan hal ini kerana takut tak jadi nanti.
"Untuk bercakap soal perkahwinan pun, saya masih muda lagi, baru saja berumur 23 tahun. Biar ekonomi saya kukuh dan membahagiakan keluarga serta diri sendiri dulu, sebelum mahu menjaga anak dara orang," kata Hafiz yang ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang ABPBH 2012 di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya, Selasa lalu.
Kurus demi konsert solo
Melihat dirinya yang lebih kurus pula, juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini memberitahu, dia kini dalam tempoh menjaga pengambilan makanan berikutan penganjuran konsert solonya di Dewan Filharmonik Petronas, 3 Jun nanti.
Semua itu dilakukan bagi menjaga stamina diri supaya persembahannya nanti dikenang sebagai pertunjukan yang memuaskan hati.
Penyanyi ini juga berkongsi khabar gembira mengenai konsertnya itu. Tanpa sebarang majlis sidang media atau iklan besar-besaran, tiket bagi menyaksikan persembahannya itu sudah pun habis disambar peminat.
Melihat sambutan diberikan membuatkan Hafiz yang berehat sebulan sepanjang Mei lebih bersemangat dan tidak sabar untuk mementaskan konsert solo pertamanya.
Tiket habis disambar peminat
"Saya terkejut apabila mendapat tahu kira-kira 1,000 tiket konsert sudah habis dijual, termasuk tiket VIP. Jika ada rezeki, saya mahu membuat konsert di tempat yang lebih besar lagi selepas ini.
"Pada persembahan selama sejam suku itu nanti, saya akan menyampaikan sembilan lagu, dengan enam daripadanya ialah lagu saya sendiri dan tiga lagi dendangan asal penyanyi lain.
"Bercakap mengenai artis jemputan pula, mungkin kami akan menimbangkannya, begitu juga ada kejutan yang akan disampaikan pada malam itu," tambah Hafiz yang akan melancarkan album barunya awal Mei nanti.
Album ketiganya, Luahan Hati Seorang Anak Seni, turut memuatkan tiga lagu yang diterbitkan di Indonesia pada Julai lalu, iaitu Bahagiamu Deritaku, Patah Hati dan Hanya Ingin Kau Cinta selain enam lagu baru.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment