MENJADI popular bukanlah sasaran sebenar pemuda bernama Muzammil Alias, 24, ketika pertama kali memperkenalkan lagu rap berjudul Rembau Most Wanted.
Dia cuma jejaka biasa ketika lagu itu pertama kali dimuat naik secara suka-suka di laman sosial YouTube. Tapi ternyata tuah nyata menyebelahi Muzammil.
Lagu unik dengan rap loghat Negeri Sembilan itu kemudiannya mendapat perhatian ramai sehingga mengheret Muzammil atau lebih dikenali sebagai Waris ke pentas populariti.
Sekarang Waris diangkat sebagai penyambung legasi muzik genre rap dan hip hop selepas untuk satu tempoh apabila genre muzik ini semakin lesu dalam industri.
Kemunculan Waris secara tidak langsung kembali memberi pilihan dan warna dalam muzik hip hop selepas sebelum ini kita misalnya begitu biasa mendengar nama Joe Flizzow, Malique, Poetic Ammo dan Altimet.
Walau semakin dikenali, Waris bagaimanapun tidak menganggap dirinya sudah boleh memegang label popular.
Waris menegaskan dia masih orang baru walaupun lagu tersebut berjaya melonjakkan namanya kerana masih ramai di luar sana yang belum benar-benar mengenali dirinya.
"Betul. Saya tak rasa diri saya dah popular. Setakat ini, saya pergi kemana-mana pun, belum ada lagi orang datang dan tegur saya.
"Bagi saya yang popular itu bukan saya tetapi lagu itu sendiri," katanya merendah diri.
Menganggap populariti yang datang sebagai satu yang tidak dijangka kata Waris, dia menerimanya sebagai rezeki kurniaan Tuhan.
"Saya muat naik secara suka-suka. Lagu itu pun bukan lagu asal saya sebaliknya lagu kumpulan rap Barat, Wu Tang Clan.
"Kemudian saya ubah ikut stail saya sendiri dan loghat Negeri Sembilan.
"Saya muat naik di YouTube sebelum kemudiannya DJ Fuzz mengesan bakat saya dan menjadikan saya antara keluarga baru di bawah Mixology Music dan lagu itu diubah semula menjadi lagu yang ada sekarang," jelasnya.
Mungkin itulah yang menjadikan genre ini unik biarpun kadangkala ada juga yang menyelitkan lirik yang tidak senonoh.
Tak menafikan bahawa lirik yang dihasilkan juga tak lari daripada unsur sinikal dan sindiran, Waris mengaku niatnya cuma mahu menyampaikan mesej yang positif.
"Lirik memang saya yang tulis. Memang ada unsur sinikal tapi tak menyentuh unsur-unsur sensitif dan menggunakan ayat kesat.
"Bagi saya sinikal dalam lagu itu perlu kerana itu adalah cara saya menyampaikan mesej tentang bermacam ragam masyarakat.
"Benda yang berlaku di sekitar kita, apa yang saya nampak dan rasa, saya tulis menjadi lagu," ujarnya.
Selain itu kata Waris, dia juga punya harapan besar agar mereka yang mendengar lagu tersebut mampu berbangga dengan budaya dan bahasa ibunda.
"Saya sengaja menulisnya dalam longhat Negeri Sembilan. Selain dekat dengan saya sebab saya memang dari Rembau, saya harap lagu itu mampu sebarkan semangat kecintaan terhadap bahasa kita," katanya.
Malah pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi, Selangor ini juga mengaku tiada masalah bekerjasama dengan Mixology Music.
"Setakat ini tak ada masalah antara saya dan pihak syarikat dari segi pembikinan lagu. Mereka beri sepenuhnya kebebasan untuk saya hasilkan sendiri lagu," katanya.
"Selepas Rembau Most Wanted, kami juga dah ada dengan material baru yang menunggu masa untuk dilancarkan. Tunggu lampu hijau daripada pihak syarikat," katanya.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment