KUALA LUMPUR - Masanya mungkin sudah tiba buat dua pemain import Pahang, Mohamed Borji dan Nikolce Kleckarovski berkemas pulang dan mencari majikan baharu selepas dikhabarkan mereka hampir pasti akan dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Langsung tidak memberikan sebarang impak bersama Tok Gajah, jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, dia menganggap peluang kedua-dua import berkenaan itu kekal sememangnya sudah tertutup dan dia kini sedang mengintai pemain baharu bagi menguatkan cabaran Pahang bagi mengharungi pusingan kedua Liga Super.
"Apa yang saya boleh katakan, saya memang kecewa dengan tahap persembahan pemain import dan atas sebab itu saya jarang membawa masuk mereka berdua dalam kesebelasan utama.
"Semasa latihan, nampak mereka berdua begitu bagus tetapi apabila perlawanan sebenar, lain pula cara permainan mereka yang tampil di bawah prestasi sebenar.
"Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan pandangan daripada PBNP sebelum membuat keputusan muktamad tetapi bagi saya secara peribadi, masa mereka berdua di sini mungkin sudah berakhir," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Borji lebih banyak tampil sebagai pemain gantian bersama Pahang dan hanya menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super semasa menang ke atas Felda United 1-0.
Sementara itu, Nikolce yang berasal dari Macedonia sebelum ini pernah bermain di Liga Vietnam sekadar memanaskan bangku simpanan.
Jika PBNP yang diterajui Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memberi lampu hijau kepada Dollah, bekas pemain Pahang dan Selangor itu berhasrat mencari seorang pemain pertahanan import.
"Keutamaan saya mahu mendapatkan seorang pertahanan kerana saya dapati benteng kita tidak begitu konsisten buat masa ini.
"Selain itu, saya tetap akan mendapatkan seorang lagi kuota import di bahagian serangan," katanya.
Menyentuh prestasi Pahang yang semakin menjunam dalam saingan liga, Dollah menanggap ia berpunca daripada ketumpulan penyudah dua penyerangnya, Mohd. Fauzi Roslan dan Azamuddin Mohd. Akil.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment