Sering kali ketika membawa anak demam ke klinik, rutin biasa dilakukan doktor adalah menyuluh ke dalam tekak.
Tujuannya untuk melihat kawasan sekitar tekak dan fariks sama ada berada dalam keadaan normal, membengkak atau lebih serius, radang yang bernanah.
Tujuannya untuk melihat kawasan sekitar tekak dan fariks sama ada berada dalam keadaan normal, membengkak atau lebih serius, radang yang bernanah.
Sebenarnya, ramai tidak mengetahui anak tekak ialah sejenis tisu limfoid yang menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan badan dan ia terdiri daripada sejenis sel dipanggil limfosit penting untuk bertindak melawan penyakit.
Anak tekak yang bengkak adalah reaksi kepada jangkitan untuk menghasilkan lebih banyak sel bagi melawan penyakit.
Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Pembedahan Leher dan Kepala, Pusat Perubatan Tropicana, Dr Mallina Sivarajasingam, berkata anak tekak bengkak biasanya dialami kanak-kanak berusia antara dua hingga 10 tahun disebabkan jangkitan viral atau bakteria.
Katanya, anak tekak bengkak selalunya akan diikuti dengan sakit tekak, susah menelan, bercakap dengan suara garau dan hidung tersumbat.
"Apa yang membimbangkan, tekak boleh mengganggu pernafasan kerana ia menutup ruang dalam mulut kanak-kanak yang sedia sempit malah jangkitan juga boleh merebak dengan mudah," katanya.
Minum banyak air
Komplikasi biasa berlaku apabila terjadinya radang anak tekak adalah dehidrasi, lemah dan kadangkala anak tidak memberi tindak balas normal.
"Jika anak tekak membengkak dengan teruk, anak akan berasa seperti tercekik malah apabila suhu badan terlalu tinggi, ia juga petanda virus sudah masuk ke dalam saluran darah.
"Rawatan awal boleh dilakukan dengan memberikan lebih air dan meredakan demam dialami anak," katanya.
Bagaimanapun, ibu bapa boleh memerhati gejala demam dialami anak sama ada demam viral atau bakteria.
Demam disebabkan viral berlaku antara 48 hingga 72 jam, boleh dirawat dengan paracetamol, hanya perlukan rehat secukupnya namun perlu berjumpa doktor jika berterusan sehingga dua hari.
Demam disebabkan bakteria pula tidak begitu kerap menjadi punca demam tapi selalunya menjadi punca masalah yang lebih serius misalnya adenovirus, rhinovirus atau influenza virus.
Jangkitan bakteria seperti ini yang paling ditakuti kerana ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti pneumonia, masalah ginjal atau meningitis.
"Bagaimanapun, tonsilitis kebanyakannya tidak merbahaya. Ada kes terpencil jangkitan bakteria yang menyebabkan septicaemia atau kuman yang merebak ke dalam salur darah.
"Ada juga yang mengaitkan jangkitan anak tekak ini dengan penyakit Acute glomerulonephritis (sejenis jangkitan buah pinggang) dan rheumatic fever (penyakit bawaan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan masalah jantung). Namun ia jarang-jarang berlaku.
"Ibu bapa perlu memantau keadaan anak, jika demam berterusan sehingga 48 jam, doktor akan menggunakan antibiotik bagi mengelakkan komplikasi serius," katanya.
Penyebab jangkitan
Ada kes kanak-kanak mengalami radang tekak empat hingga enam kali setahun atau lima jangkitan berterusan selama dua tahun.
"Kekerapan itu menyebabkan anak terpaksa bercuti panjang sehingga mengganggu pelajaran malah lebih teruk, anak tekak membengkak dan bernanah boleh mengganggu pertuturan anak menyebabkan dia berasa rendah diri.
"Jadi, dalam kes seperti ini, mereka selalunya akan dicadangkan menjalani pembedahan membuang tekak atau tonsillectomy sebagai jalan terakhir untuk mengelakkan radang tonsil daripada berulang," katanya.
Kata Dr Mallina, anak tekak kerap bengkak boleh menyebabkan jangkitan malah tidak mampu lagi bertindak sebagai sistem pertahanan yang baik.
"Tiada sebab untuk menyimpannya lagi kerana tugasnya boleh diambil alih limfa barisan kedua yang berada di belakang lidah.
"Jika disimpan, boleh menyebabkan 'sleep apneoa' atau pernafasan terhenti semasa tidur (disebabkan anak tekak bengkak dan besar) sehingga mengganggu pernafasan. Biasanya ia dikaitkan dengan tidur berdengkur dan kesukaran bernafas semasa tidur," katanya.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment