KUALA LUMPUR - Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar tanpa mengira harga untuk mendapatkan rebat RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2013.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini menjelaskan, keputusan itu diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian tersebut semalam.
Pemberian rebat RM200 kepada 1.5 juta belia itu dilaksanakan di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) selaras dengan pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.
Menurutnya, pelaksanaan skim tersebut berdasarkan prinsip 'siapa cepat dia dapat' sehingga peruntukan RM300 juta untuk skim itu habis.
Tujuh syarikat telekomunikasi yang melaksanakan skim PKB di bawah koordinasi SKMM ialah Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications.
SKMM memperjelaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan PKB sama ada penjual atau peruncit dikenakan syarat harga patut.
Tinjauan di laman web PKB di https://komunikasibelia.skmm.gov.my semalam mendapati hampir 8,000 belia telah mendaftar untuk mendapatkan rebat tersebut.
Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam reaksi segera semalam menyambut baik keputusan kerajaan melonggarkan syarat pembelian telefon di bawah skim itu.
Naib Presidennya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, keputusan itu membuktikan kerajaan telah mendengar dan memenuhi kehendak golongan muda.
"Kelonggaran itu bermakna generasi muda ada lebih banyak pilihan model telefon pintar untuk dibeli.
"Namun MBM sekadar mengingatkan mereka membeli mengikut kemampuan dan elak daripada pembaziran," katanya.
Menurutnya, pemilikan telefon pintar 3G membabitkan kos lebih tinggi seperti bayaran bulanan untuk pakej jalur lebar mudah alih dan sebagainya.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment