Home » » Gambar-gambar kejadian tanah runtuh dan banir lumpur di Putra Heights Subang Jaya

Gambar-gambar kejadian tanah runtuh dan banir lumpur di Putra Heights Subang Jaya

Tuke Tulih Admin pado Thursday, January 3, 2013 | 4:41 PM

Kosmo - 7 kenderaan kena banjir lumpur
 
SUBANG JAYA – Tujuh buah kenderaan yang melalui jalan menghala ke persimpangan lampu isyarat Persiaran Putra Bahagia dan Persiaran Putra Perdana di Putra Heights di sini semalam ditimpa banjir lumpur yang mengalir secara tiba-tiba dari kawasan lopak di kaki bukit di situ.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, pemandu lima buah kereta, pemandu sebuah van dan penunggang sebuah motosikal tidak cedera.
 
Jarak antara kawasan lopak dengan jalan yang dilanda banjir lumpur kira-kira 20 meter.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, tanah lumpur dari lopak itu mengalir menimpa tujuh buah kenderaan tersebut selepas sebahagian dari lereng Bukit Cermin yang tiba-tiba runtuh.
"Runtuhan tanah pada lereng bukit itu menimpa lopak di kaki bukit mengakibatkan lumpur dari lopak itu melimpah ke atas jalan.
 
 
"Kawasan tanah lereng bukit yang runtuh itu berlaku di kawasan tapak pembinaan rumah di atas bukit tersebut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!
Berikutan kejadian itu, Yahaya berkata, kerja-kerja pembersihan lumpur sedang dilakukan oleh pihak kontraktor projek pembinaan tersebut dengan dibantu pasukan bomba dan penyelamat.
"Sehingga pukul 10 malam tadi jalan tersebut masih ditutup dan dikawal oleh Unit Peronda Polis dan polis trafik," kata beliau.
 
Bagaimanapun, menurut beliau, tiada kawasan perumahan penduduk terjejas ekoran kejadian tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tanah runtuh itu pada pukul 6.12 petang.
"Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang.
"Laluan tersebut dijangka dibuka semula pada awal pagi esok (hari ini)," kata beliau.
 
 
Sinar - Tsunami lumpur, 7 kenderaan terperangkap
 
SUBANG JAYA – "Limpahan lumpur itu ibarat seperti tsunami, tidak sempat hendak mengundur kereta, ia terlebih dahulu menghanyutkan kereta saya sejauh lebih 100 meter," kata Saabana Sarijan, 54, salah seorang daripada lapan mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir lumpur di Putra Heights, lewat petang semalam.

Saabana berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Alam Megah menuju ke rumahnya di Puchong.
 

Katanya, sebaik sampai di simpang tiga berhampiran Balai Polis Putra Heights, dia berasa hairan melihat air lumpur memenuhi permukaan jalan sebelum limpahan lebih deras menuju ke arah kenderaan dipandunya.

"Dalam keadaan kelam kabut, saya nampak dua kereta berada di depan masing-masing dipandu wanita tersangkut serta tidak boleh bergerak kerana 'terlekat' dalam lumpur.

"Saya juga cuba mengundurkan kenderaan tetapi gagal sebelum kereta tiba-tiba berpusing dan 'hanyut' lebih 100 meter," katanya.

Saabana yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, keretanya penuh dengan lumpur namun bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami kecederaan.


Ibu hamil terperangkap

Dalam kejadian itu, tujuh kenderaan mengalami kerosakan akibat terkena air bercampur tanah yang mengalir deras dari kawasan atas Bukit Cermin di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai bencana itu kira-kira jam 6.12 petang sebelum 10 anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku di simpang tiga Jalan Putra Bahagia dari Puchong menghala ke Cyberjaya.

Sebaik tiba, katanya, anggota mendapati lima kereta, sebuah van dan sebuah motosikal yang kebetulan melalui jalan itu terperangkap dalam banjir lumpur setinggi satu meter dari kawasan berbukit.

"Semua mangsa terperangkap dalam kereta namun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Mangsa termasuk salah seorang daripadanya ibu mengandung hanya terkejut dan ketakutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli pula berkata, kejadian berlaku dengan jarak 500 meter dari Balai Polis Putra Heights.
Katanya, kedua-dua laluan itu diliputi lumpur dan terpaksa ditutup sepanjang lebih tiga kilometer untuk memberi laluan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Beliau berkata, lalu lintas kawasan terbabit tidak tergendala kerana ada dua jalan alternatif lain boleh digunakan penduduk termasuk Lebuh Raya Elite dan juga Alam Megah.

Yahaya berkata, sebuah bilik gerakan kecil didirikan untuk memastikan kawasan terbabit selamat sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.

Katanya, ketika kejadian tiada hujan dan percaya ia berlaku apabila tanah yang runtuh masuk ke dalam takungan air sebelum mengalir ke permukaan jalan.

Kata Yahaya lagi, beliau difahamkan, menara pencawang elektrik yang terletak berhampiran tanah runtuh tidak terjejas dan akan memanggil pihak berwajib mengkaji semula tahap keselamatan di lokasi.

"Selepas dibersihkan dan dipastikan selamat baru jalan yang terjejas hampir 500 meter ini  akan dibuka semula kepada orang ramai.

"Buat masa ini, kita nasihatkan semua penduduk Putra Heights gunakan laluan alternatif lain dahulu," katanya.


Arahan henti kerja

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada pemaju yang menjalankan kerja pembinaan di kawasan terjejas akibat  limpahan banjir lumpur,.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, kejadian banjir lumpur di kawasan itu dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan tebing oleh pemaju.

Menurutnya, pihaknya sudah mengarahkan pemaju membuat kerja pembersihan di seluruh kawasan terlibat termasuk longkang awam pada malam semalam juga.

Beliau berkata, kerja itu diarahkan disiapkan selewat-lewatnya pagi ini supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat.

Abdullah berkata, kerja pembinaan dilakukan pemaju mempunyai kelulusan daripada MPSJ, bagaimanapun esok (hari ini) majlis akan mengeluarkan arahan berhenti kerja bagi apa juga kerja pembinaan sehingga siasatan dan tindakan selanjutnya dijalankan.

"Malam ini (semalam) fokus tertumpu kepada kerja pembersihan dan pembaikan, sehingga siasatan dilakukan tiada apa-apa kerja dibenarkan dilakukan pemaju di situ.

"Bagi laluan pula, ia akan ditutup sementara waktu dan keadaan di lokasi masih selamat," katanya.

Sementara itu, wakil pemaju memberitahu pihaknya menjalankan kerja pembinaan di kawasan berbukit itu bermula awal tahun lalu dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.

Katanya, projek di atas bukit termasuk pembinaan 150 rumah semi-D, 100 unit banglo dan 600 unit kondominium serta sebuah sekolah antarabangsa.

Menurut wakil pemaju itu, tanah yang runtuh bukanlah daripada kawasan berbukit sebaliknya tanah tambahan yang digunakan untuk pemajuan kawasan berkenaan.

"Selepas ini kita akan bincang dengan MPSJ sama ada boleh sambung kerja di situ atau tidak," katanya.
 
 
Noorizam Shah - Kejadian tanah runtuh di Putra Heights
 

KUALA LUMPUR: Enam kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Seksyen 8, berhampiran Balai Polis Putra Height, Subang Jaya, Khamis.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Selangor berkata kejadian itu dilapor berlaku pada pukul 6.12 petang.

"Sehingga kini maklumat yang diterima hanya melibatkan kenderaan yang tertimbus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehingga kini kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh tujuh anggotadan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang. BERNAMA

------------------------------------------------------------------------------------


Kejadian berlaku tidak jauh dari kediaman saya. Petang semalam memang saya keluar dan lalu di laluan ini. Masa melewati kawasan ini, hari tidak hujan dan tidak jangka pula akan berlaku runtuhan tanah sehingga menimpa beberapa kenderaan di laluan kedua belah jalan.


 

Memang kawasan di tepi lereng bukit ini sedang ditarah beberapa bulan ini kerana disini akan dibangunkan beberapa projek perumahan bernilai jutaan ringgit. Akibat dari menarah bukit, banyak pokok kelapa sawit sebelum ini telah dibuang dan air yang menyerap ke dalam tanah tidak lagi dapat menampung, menyebabkan tanah menjadi lembut dan turun membadai jalanraya.

Kepada pihak pemaju dan berwajib harus mengambil perhatian serius kerana projek ini tidak membina saluran air dengan bersistematik dan membuka risiko bencana kepada pengguna jalanraya.

 
Mohon Kongsi :

0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:

Post a Comment

Berito Baru Ni Bohh

Berito-berito Lamo

Berito Glemor Molek

Comment

Powered by Blogger.
 
Support : Your Link | Your Link | Your Link
Copyright © 2013. Kota Bharu Bloggers - this is kelate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger