INOVASI ciptaan sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Datuk dekat Pengerang, Johor telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila menduduki tempat kedua Pertandingan Pereka Cipta Muda peringkat Antarabangsa 2012 atau International Exhibition For Young Inventors (IEYI) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Pengurus pasukan sekolah itu, Latifah Saat berkata, kejayaan tersebut diperoleh menerusi ciptaan 'The Great Wall Of Plastic' (GWP) atau sejenis alat perangkap sampah yang dihasilkan melalui bahan terbuang iaitu botol plastik dengan mengaplikasikan konsep 3R (Reuse, Reduce and Recycle).
"Kelebihan alat perangkap sampah GWP adalah tahan lama dan dihasilkan dengan kos yang murah," katanya.
Malah, jelas beliau, susunan botol plastik pada ciptaan tersebut menyerupai barisan telur nyamuk yang berfungsi seperti injap agar berupaya mengumpul sampah dengan banyak.
Pasukan sekolah itu yang diwakili Noor Faridah Ali, Goh Zheng Yuen dan Farhan Yahya tewas kepada pasukan Hong Kong yang dinobatkan sebagai juara IEYI edisi kali ini.
"Walaupun hanya mampu menduduki tangga kedua namun kita tetap bangga dengan pencapaian ini dan berazam untuk mempertingkatkannya pada masa depan," katanya penuh tekad.
Projek GWP dimulakan pada 2008 dengan tapak ujian dijalankan di Sungai Kapal dan ia ditambah baik pada tahun ini serta menjalani ujian kedua di Sungai Kepah kerana kedua-dua sungai tersebut berada dalam Kampung Sungai Kapal, Pengerang dekat Johor.
Menurut Latifah, selepas menjalani operasi di Sungai Kapal dan Sungai Kepah, penghasilan alat berkenaan menunjukkan peningkatan yang positif kerana berjaya memerangkap sampah dengan banyak dan tidak mudah rosak walaupun mendapat tekanan ombak kuat.
"Sampah dapat dikumpul dari dua arah iaitu dari laut dan kampung malah penghasilan satu set GWP hanya memakan masa tiga hari sahaja bergantung kepada saiz lebar sungai.
"Malah, bahan utama alat ini hanya botol plastik minyak 5 liter, tali nelayan, simen, jaring ikan dan kayu bakau," jelasnya.
Pada masa yang sama, Latifah turut melahirkan penghargaan kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), SIRIM Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran serta penglibatan syarikat swasta iaitu Petronas.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment