MUAR 4 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tiong Hiang, dikejarkan ke hospital kerana cedera di kepala selepas ditumbuk seorang lelaki dipercayai ahli DAP pada majlis makan malam parti tersebut di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, wakil rakyat DAP tersebut tiba di sebuah restoran untuk jamuan makan malam anjuran DAP Bahagian Bakri tetapi dihalang dua wanita yang mendakwa beliau tidak mempunyai tiket.
Bagaimanapun belum sempat Tiong Hiang menunjukkan tiketnya, secara tiba-tiba seorang lelaki muncul dan menumbuk muka beliau.
Tiong Hiang berkata, dia tidak dapat mengecam individu terlibat kerana insiden itu berlaku secara tiba-tiba.
"Saya rasa lelaki yang menumbuk saya itu juga anggota parti. Makan malam tersebut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tetapi kejadian berlaku sebelum beliau sampai.
"Walaupun rasa sakit dan pening saya tetap menyertai jamuan itu dan menunggu sehingga Guan Eng habis berucap. Selepas itu saya pulang ke rumah dalam keadaan muntah-muntah," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas sampai ke rumah keadaannya semakin teruk dan isterinya, Gan Sey Hui, menghantarnya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan kecemasan dan diberitahu perlu menjalani proses imbasan di bahagian kepala.
Sementara itu, Pengarah hospital berkenaan, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz berkata, wakil rakyat pembangkang tersebut berada dalam keadaan stabil.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment