Pengguna lebuh raya dijangka menikmati rebat tol yang menarik sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md. Salleh berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat oleh Menteri Kerja Raya dalam masa terdekat.
"Setiap tahun kita berbincang dengan rakan kongsi kita untuk memberi diskaun atau rebat kepada pengguna terutama semasa dan sebelum raya serta untuk Hari Kemerdekaan.
"Berapa banyak (diskaun)? Menteri kami akan buat pengumuman, namun saya beri jaminan kali ini lebih baik berbanding tahun lepas kerana kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-55 yang menjadikan tahun ini istimewa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Panadol Be Prepared di sini semalam.
Kempen yang dianjurkan GlaxosmithKline Consumer Healthcare bersama Touch 'n Go Sdn. Bhd. itu mengagihkan 50,000 kad Touch 'n Go bernilai RM10 di plaza tol terpilih serta peruncit di seluruh negara sejak 1 Ogos lalu.
Ismail berkata, LLM juga meneliti semula langkah keselamatan menjelang perayaan yang diharapkan siap minggu depan.
"Setiap musim perayaan kita melakukan persediaan rapi. Kali ini kami jangka jumlah trafik yang tinggi sehari dua sebelum 18 Ogos dan selepas raya hingga ke akhir bulan memandangkan jarak sambutan Aidilfitri dan hari merdeka agak dekat," katanya. – Bernama
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment