Seorang profesor Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan rasuah melibatkan habuan daripada seorang bekas mahasiswa wanita sebagai ganjaran memberinya keputusan akademik yang baik.
Tey Tsun Hang, 41 tahun, yang juga merupakan seorang bekas hakim daerah di sini, menghadapi enam tuduhan.
Dia dituduh mengadakan hubungan seks dengan bekas mahasiswa NUS yang bernama Darinne Ko Wen Hui itu, sebanyak dua kali pada/atau 24 Julai dan 28 Julai 2010.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Tey memberikan Ko gred yang baik sebagai membalas habuan seks itu.
Tey juga dituduh menerima habuan berbentuk pena berjenama Mont Blanc yang berharga $740, dua kemeja yang ditempah tukang jahit berharga $236.20 dan sebuah iPod Touch bernilai $160 daripada Ko antara Mei dengan Jun 2010.
Ko juga dikatakan telah membayarkan bil Tey yang mencecah $1,278.60.
Tey merupakan seorang Profesor Madya yang mengajar di Fakulti Undang-Undang NUS.
Sementara itu, profil Ko di laman sosial LinkedIn pula menunjukkan Ko menuntut di NUS antara 2008 dengan 2012.
Ko juga dikatakan pernah bekerja sambil belajar di firma guaman terbesar di Singapura, Rajah & Tann, antara 2008 dengan 2010 dan pernah bekerja di firma guaman O'Melveny & Myers antara 2010 dengan tahun lalu.
Menurut laporan akhbar The New Paper, Tey diberkas pada April lalu sementara Ko tidak diberkas tetapi kenyataannya telah diambil.
Ko, 23 tahun, didakwa mendekati Tey bagi mendapatkan gred lebih baik bagi kursus elektif yang diambilnya.
Tey memberitahu media di luar Mahkamah Rendah semalam bahawa "tuduhan-tuduhan terhadapnya itu amat serius".
"Kebebasan, kewibawaan dan mata pencarian saya dipertaruhkan.
"Nama baik saya tercemar dan akibatnya keluarga saya juga menderita," kata Tey.
Dalam e-melnya kepada Berita Harian semalam, seorang jurucakap NUS berkata:
"Dengan keputusan Peguam Negara memfailkan tuduhan terhadap Profesor Madya Tey Tsun Hang, NUS telah memulakan siasatan dan menggantung khidmatnya.
"Universiti ini memandang serius pelanggaran peraturan. NUS mempunyai Kod Tatalaku yang harus diikuti kakitangannya.
"Jika berlaku sebarang pelanggaran (peraturan), tindakan yang sewajarnya akan diambil termasuk pemecatan bagi pencabulan serius Kod Tatalaku itu."
Kertas pertuduhan Tey menunjukkan dia seorang warga Malaysia dan bertaraf penduduk tetap di sini.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $100,000 dan kesnya akan didengar lagi pada 3 Ogos ini.
Jika sabit kesalahan, Tey boleh dikenakan denda sehingga $100,000, penjara sehingga lima tahun atau kededuanya sekali bagi setiap kesalahan. (Berita Harian Singapura)
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment