BACHOK, 6 Mac – Gesaan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) agar seluruh rakyat negara ini berjihad membantu pasukan keselamatan memerangi pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Sabah, menunjukkan pakatan pembangkang tidak sehaluan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, gesaan itu bercanggah dengan tuduhan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menganggap pencerobohan itu sebagai konspirasi UMNO dan kerajaan.
"Mereka tidak sepenuh hati dalam sokongan terhadap kerajaan bagi membanteras pencerobohan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Beris di sini petang hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan ketua DPPM, Nasrudin Hassan menggesa seluruh rakyat negara ini termasuk badan bukan kerajaan menawarkan diri untuk turun berjihad membantu pasukan keselamatan sebagai sukarela di Lahad Datu dan semporna, Sabah.
Nasrudin berkata, ini perlu bagi membantu memelihara kemuliaan Islam, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, gesaan itu hanya sebagai sandiwara kerana mereka tidak bersepakat memperjuangkan sesuatu isu lebih-lebih lagi membabitkan keselamatan negara.
Katanya, ini berbeza dengan parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kesepakatan dan satu perjuangan yang ditunjangi UMNO.
"Adakah rakyat mahu memilih sebuah kerajaan yang tidak mempunyai kesepakatan untuk mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama," kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok.
Beliau yakin rakyat akan sedar apa yang pembangkang lakukan dan siapa sebenarnya yang layak diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13, dalam menjaga kedaulatan negara.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment