KUALA LUMPUR 3 Julai – Langkah kerajaan Kelantan meletakkan batu asas selain melaksanakan kutipan derma bagi Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dianggap cukup memalukan setelah projek berkenaan rupa-rupanya masih belum diluluskan mesyuarat Exco negeri tersebut.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussin berkata sepatutnya perkara asas seumpama itu perlu diutamakan dan bukannya ghairah meletakkan batu asas selain melancarkan kutipan derma dan sebagainya.
Menurut beliau amat jelas rancangan pembinaan lebuh raya berkenaan sememangnya diragui berdasarkan beberapa projek besar yang diumumkan kerajaan Pas Kelantan yang semuanya menemui kegagalan.
Ramai yang khuatir dan bimbang serta ragu-ragu berhubung pembinaan lebuh raya
"Sebelum ini ramai yang khuatir dan bimbang serta ragu-ragu berhubung pembinaan lebuh raya berkenaan termasuklah soal kutipan derma dan sebagainya. Rupa-rupanya apa yang dibimbangkan oleh rakyat selama ini telah menjelma hari ini yang mana masih belum diluluskan di peringkat Exco.
"Bagaimana mereka boleh lancar dan letak batu asas serta kutip derma terlebih dahulu…Bagaimana pula dengan pelan jajaran dan berbagai-bagai lagi yang ada hubungkait dengan pembinaan lebuh raya itu. Apa pun derma itu kita akui bagus dan digalakkan oleh Islam itu sendiri tetapi apakah matlamat dan niat penderma untuk melihat impian mereka membantu menjayakan projek lebuh raya tersebut berjalan lancar kelak. Inilah yang dipersoalkan umum," katanya kepada UMNO-Online di sini.
Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai masih belum diluluskan mesyuarat Exco
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengesahkan projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai masih belum diluluskan mesyuarat Exco.
Husam turut mengakui ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco pada 4 Julai ini dan kerja-kerja awal untuk membina lebuh raya tersebut bermula sebaik sahaja pelan yang diukur oleh juru ukur bertauliah diluluskan.
Dali yang juga Ketua UMNO Pengkalan Chepa seterusnya mempersoalkan apakah projek lebuh raya derma itu bakal menerima nasib sepertimana beberapa projek mega yang dilancarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini yang hanya gah pada pelancaran semata-mata.
"Jika lihat pada peringkat awal ini iras-irasnya seolah-olah ke arah itu..tetapi apa pun kita sama-sama berdoa agar projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai tidak menerima nasib yang sama sepertimana beberapa projek yang telah dilancarkan sebelum ini. Lagi pun duit yang didermakan itu nak letak kat mana.
"Jangan sampai apa yang diperkatakan umum bahawa pengumuman projek berkenaan sebagai modal pilihan raya menjadi realiti kerana janji perlu ditepati dan bukannya janji digunakan untuk undi," katanya.
0 ore tulih doh ni, demo bilo lagih?:
Post a Comment